Campur-campur
Ikhtilat merupakan pengumpulan yang melibatkan percampuran diantara lelaki dan perempuan (yang asing) yang berlaku didalamnya (secara adatnya) bebas pandang memandang serta bebas berinteraksi diantara satu sama lain didalam satu tempat yang tertentu.
Hukum al-Ikhtilat adalah haram atau dilarang sama sekali didalam Islam. Hukum ini disandarkan diatas beberapa hadis Baginda ar-Rasul SAW khususnya kepada golongan wanita.
Secara umumnya, perbuatan ini dilarang di dalam Islam, dan termasuk dalam perkara-perkara yang amat berbahaya kerana melaluinya, diri mudah untuk terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan, mudah untuk membawa seseorang mendekati zina. Allah telah berfirman:
"Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji, dan merupakan jalan yang buruk." (Al-Israa’ : 32).
Selain daripada itu, larangan untuk wanita berjalan bersama kaum lelaki di jalanan boleh dikatakan sebagai salah satu situasi yang boleh kita panggil sebagai ikhtilat, dalam hadis Rasulullah SAW, baginda pernah menerangkan bahawa baginda telah melihat percampuran di antara lelaki dan wanita di jalanan, lantas baginda SAW menyuruh para wanita supaya berjalan di tepi jalan bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' di antara mereka.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
"Tidaklah seorang laki-laki bersendirian dengan seorang seorang wanita (yang bukan mahramnya) melainkan syaithan yang ketiganya." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Hakim, dan Hajim mensahihkannya)
Dalam pergaulan, Islam telah menetapkan beberapa adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan.
• Ucapan yang sopan dan berfaedah dan tidak bersentuhan kulit
Firman Allah yang bermaksud: Dan ucaplah kata-kata yang makruf. Maksudnya, mereka ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk sendaan dan sia-sia. Menjaga anggota badan dari menyentuh kulit mereka yang haram bagimu untuk menyentuhnya.
• Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW setelah memberi salam beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu.
• Menjaga pakaian yang disarankan Islam
Firman Allah yang bermaksud: Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka. Dan firmannya lagi: Janganlah kamu bertabarruj (bersolek) sebagaimana kaum jahiliah bertabrruj (bersolek).
• Tidak berkhalwat (berdua-duaan)
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah sekali-kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia mahramnya.
• Serius dalam ucapan dan tidak melembutkan suara & menundukkan pandangan sesama mereka Tidak `mengada-ngada` atau bermanja-manja dalam percakapan.
Firman Allah: Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan, yang menyebabkan mereka yang sakit hatinya terdetik untuk menggodamu. Dalam surah An-Nur menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya dalam suasana takutkan fitnah.
• Menjaga pergerakan dan tidak menzahirkan sesuatu yang menarik perhatian
Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lentuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Firman Allah: Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan.
Namun terdapat beberapa jenis 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita yang dibenarkan oleh Islam, terutamanya yang jika ianya berkaitan dengan tuntutan Syara`, keperluan atau yang seumpama dengannya.
'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah
'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah yang dibenarkan oleh Syara` seperti urusan jual beli, urusan penghakiman, atau keadaan-keadaan yang memerlukan seseorang wanita itu menjadi saksi dalam sesuatu permasalahan seperti masalah berkaitan harta atau perkara yang berkaitan dengan urusan wanita walaupun pada kebiasaannya urusan-urusan tersebut akan membawa kepada 'ikhtilat'.
Firman Allah maksudnya:
Persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu. Jika tiada dua orang lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi- saksi yang kamu redhai.
'Ikhtilat' yang berlaku sewaktu menjadi saksi
Seseorang wanita boleh menjadi saksi di dalam kes-kes tertentu yang walaupun berlakunya percampuran sewaktu proses penyaksian sedang berjalan. Dan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa harus bagi kaum wanita menjadi saksi dalam sesuatu kes.
'Ikhtilat' bertujuan melayani tetamu
Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.
'Ikhtilat' sewaktu peperangan jihad fisabilillah
Para wanita di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat turut serta bersama- sama kaum lelaki pergi berjihad di medan peperangan. Mereka membantu para pejuang seperti memberi minum, merawat kecederaan serta meniupkan semangat jihad kepada para lelaki untuk terus berjuang. Begitu juga diharuskan juga 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita dalam satu perhimpunan mendengar tazkirah serta peringatan yang berkaitan dengan agama.
'Ikhtilat' di dalam kenderaan awam
Adapun wanita terdedah kepada 'ikhtilat' sewaktu menaiki kenderaan awam untuk menyelesaikan sesuatu urusan seperti menziarahi ibu-bapa, sahabat- handai, pesakit, atau membeli keperluan harian, maka 'ikhtilat' seperti ini adalah dibenarkan di dalam syarak.
Perlu diingatkan bahawa bentuk-bentuk keizinan 'ikhtilat' yang telah disebutkan tadi tidak bermakna wanita boleh bebas bercampur gaul dengan kaum lelaki. Ini kerana hukum asal ikhtilat itu sendiri sudah jelas. Oleh para wanita wajib menjaga segala adab-adab dan hukum syara` yang berkaitan dengannya. Para wanita juga perlu ditemani suami atau mahramnya ketika menjalankan urusannya.
Hukum-hukum di atas juga merangkumi hubungan dan pergaulan seseorang wanita dengan kaum kerabat yang bukan mahram seperti sepupu, ipar duai dan seumpamanya. Ramai wanita memandang enteng perkara ini. Contohnya membuka aurat di hadapan sepupu serta tidak menjaga adab-adab wanita Islam dengan berhujah bahawa mereka adalah kaum kerabat dan hubungan kekeluargaan yang amat rapat.
Ringkasnya, salah satu solusi, metode dan sarana dari Islam untuk menjaga keharmonisan hubungan antara laki-laki dan perempuan, adalah dengan mengendalikan kecenderungan naluri kepada lawan jenis, baik dari sisi llelaki mahupun perempuan.
0 comments:
Post a Comment