Ketika Sayidina Umar Al Khattab memegang tampuk pemerintahan Islam yang berpusat di Madinah, beliau telah menghantar utusan kepada Yazdajird, Raja Parsi, menyerunya agar memeluk Islam. Malangnya seruan itu ditolak. Yazdajird rela berperang dari menerima seruan tersebut.
Peperangan tidak dapat dielakkan lagi... ramai tentera Parsi terbunuh manakala Yazdajird melarikan diri ke Hulwan. Apabila tentera Islam tiba di Hulwan, Yazdajird dan tenteranya sempat lari ke Asfahan dan berjaya mengumpul kekuatan 60 ribu orang untuk mengepung 3 ribu tentera Islam yang dipimpin oleh Sariyah Ibnu Zanim Al Halaji di tempat bernama Bab Nahawan.
Sariyah rasa tersepit dan bercadang mahu berundur dan kedudukan mereka.
Sayidina Umar yang ketika itu sedang berkhutbah di atas mimbar masjid di Madinah, tiba-tiba diperlihatkan oleh Allah kegawatan tentera Islam di Bab Nahawan.
Beliau lantas bertempik: "Wahai Sariyah! Jangan kau berganjak dari balik bukit itu! Siapa yang memilih serigala untuk mengawal kambingnya adalah orang yang zalim (aniaya)."
Sidang jemaah yang mendengar perubahan mendadak khutbah Sayidina Umar turut menyedari bahaya yang sedang menimpa tentera Islam di medan perang itu... Allah telah memperdengarkan suara tersebut hingga sampai kepada Sariyah dan juga tenteranya.
"Itu suara Amirul Mukminin!"
Lalu mereka pun berbuat seperti yang diperintahtan oleh suara tersebut. Bantuan ketenteraan kemudiannya sampai dari Kufah dan Basrah. Satu pertempuran hebat berlaku dan tentera Parsi dapat dikalahkan walaupun mereka mempunyai tentera yang jauh lebih besar dari tentera Islam.
Sebenarnya komunikasi kerohanian sebegini bukan sahaja berlaku di antara Sayidina Umar dan Sariyah yang merupakan faktor penting kemenangan Islam itu, tetapi juga kepada para pejuang Islam yang bertaqwa zaman-berzaman. Apakah ia boleh juga berlaku di zaman ini ? Jawapannya: Tidak mustahil jika Allah menghendakinya dan jika tentera Islam telah memiliki sifat taqwa!
ISLAM itu ada lahir, ada batin. Ada jasad, ada roh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit, ada isi. Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam atau intipati Islam itulah yang dikatakan ‘rohul amal’, yakni roh dalam kita bekerja, roh dalam kita bertindak, roh dalam kita melaksanakan sesuatu, roh dalam kita berjuang dan berjihad, roh dalam sebarang usaha ikhtiar kita, walau dalam bidang apa sekalipun dalam ibadah, dakwah, ekonomi, politik, pembangunan, pertanian, kesihatan, dan lain-lain. Roh amal inilah yang hendak kita jaga sungguh-sungguh kerana ia merupakan nyawa, di samping kita tidak pula menafikan amal lahir atau syariat lahir yakni benda-benda yang dapat dilihat dengan mata lahir. Roh amal itulah tempat pandangan ALLAH kerana ia merupakan intipati amal. Lubbun daripada roh amal itulah ALLAH menilai. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul dalam sabdanya, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”. (Riwayat Muslim). Maksudnya, amalan lahir yang kita buat seperti rukuk, sujud, berdiri dan bacaan-bacaan dalam sembahyang, semuanya ALLAH tidak pandang kalau rohnya sudah tidak ada. Begitu juga percakapan kita yang didengar oleh manusia, perjuangan kita dengan menggunakan tangan dan kaki, pergi ke sana ke mari, bermacam-macam bentuk pembangunan yang kita hasilkan dalam bidang ekonomi, pertanian dan sebagainya; semuanya tidak ada nilaian di sisi ALLAH kalau rohnya tidak ada. Jadi ALLAH tidak melihat dan memandang gambaran lahir tetapi ALLAH melihat hati kita. Roh usaha kita itu yang ALLAH pandang di samping usaha itu perlu dibuat. Roh amal itu yang dipandang oleh ALLAH di samping amal itu perlu dibuat. Roh jihad itulah yang ALLAH nilai di samping jihad itu perlu dilaksanakan. Roh puasa itulah yang ALLAH beri markah di samping puasa itu perlu dibuat. Begitulah seterusnya. Jadi dalam kita beramal, kedua-duanya lahir batin - mesti kita buat, tetapi penilaian ALLAH pada yang batin. Islam ada rangka, ada nyawa; kedua-duanya perlu. Tetapi nyawa itulah yang dinilai oleh ALLAH. Jadi kalau usaha, ibadah, pembangunan, jihad atau apa saja yang kita cetuskan, sedangkan rohnya tidak ada, samalah seperti manusia yang sudah tidak ada nyawa. Ertinya sudah dianggap bangkai. Manusia, walau bagaimana cantik sekalipun, kalau sudah tiada nyawa maka akan ditanam saja, tidak perlu disimpan lagi. Orang hormat kepada ratu cantik itu kerana rohnya atau nyawanya masih ada lagi. Justeru itu, kita beribadah mesti berserta roh. Kita berdakwah mesti berserta roh. Kita berjihad mesti berserta roh. Begitu juga kita bermusafir, bergaul, berilmu, berpadu, berdoa, berzikir, berekonomi, membangunkan pertanian, membangunkan kesihatan, berkumpul, dan sebagainya; semuanya mesti berserta roh. Hinggakan diam kita pun mesti ada roh. Jadi roh amal perlu kita jaga kerana ia merupakan nilaian ALLAH SWT, di samping soal-soal lahir wajib juga dilaksanakan dan ia tidak boleh diabaikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh amal atau nyawa pada amal, pada usaha kita, pada perbuatan kita, pada ibadah kita itu?. Sebagai contoh, berikut adalah beberapa amalan yang boleh kita nilai sama ada wujud atau tidak rohnya. Roh SembahyangKalau kita bersembahyang, roh sembahyang itu di antaranya ialah khusyuk, faham apa yang kita baca, hati berasa hina dan kecil di hadapan ALLAH, serta merasakan kebesaran dan kehebatan ALLAH SWT. Bila ada roh yang begitu rupa dalam sembahyang, baru boleh dikatakan sembahyang. Barulah amal sembahyang itu ALLAH terima. Kalau tidak ada maka sujud kita tiada erti apa-apa, berdiri kita tiada erti apa-apa, kefasihan lidah kita membaca ayat-ayat tiada erti apa-apa. Duduk berdiri kita dalam sembahyang sudah tiada erti apa-apa kalau roh sembahyang atau nyawa sembahyang kita sudah tidak ada. Sembahyang yang sudah tidak ada roh ialah 'Sembahyang Bangkai'. Roh Berdakwah Contoh yang lain ialah roh dalam kita berdakwah seperti bercakap, menyampaikan risalah, buku, makalah dan sebagainya. Bagaimanakah yang dikatakan dakwah yang ada roh atau dakwah yang ada nyawa itu?. Iaitu bilamana setiap pendakwah itu merasa apa yang dia buat itu satu tanggungjawab daripada ALLAH SWT, bukan daripada diri dia, dan bukan tanggungjawab daripada jemaah. Jemaah itu cuma sebagai landasan untuk dia berjuang. Seolah-olahnya dia mewakili ALLAH. Ibarat kita mewakili raja atau perdana menteri atau menteri, bolehkah bersenang-senang?. Oleh itu, dalam berdakwah kita patut merasa kita mewakili ALLAH di dunia ini untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada umat manusia. Inilah yang dikatakan mesti ada rasa tanggungjawab dalam soal dakwah kerana kita diperintahkan oleh ALLAH SWT supaya berdakwah. Kita berdakwah membawa hati yang takut kepada ALLAH. Takut-takut tersilap menyampaikan, atau tersilap menilai hukum. Sebab, kadang-kadang apa yang kita sampaikan dan hukum yang kita beri dalam berdakwah itu didengar oleh ribuan orang. Mereka akan berkeyakinan atau berpegang mengikut sebagaimana yang kita ucapkan atau sampaikan. Kalau kita tersilap, bukan senang kita hendak jumpa setiap orang untuk membetulkan kesilapan kita. Kalau apa yang kita sampaikan itu tidak tepat sebagaimana yang ALLAH dan Rasul perintahkan, bukan sahaja kita terpaksa bertanggungjawab di dunia tetapi juga di Akhirat kelak. Inilah yang dimaksudkan, sewaktu kita berdakwah itu mesti ada rasa takut dalam hati. Takut-takut dalam kita berdakwah itu kita tersalah dan tersilap. Takut itu dalam hati, bukan pada telinga, bukan pada lisan. Sebab itulah kalau kita berdakwah, kita kena bawa hati sama. Jangan hanya membawa lisan sahaja atau membawa cakap sahaja tanpa membawa hati. Dan yang dikatakan roh dakwah lagi, kalau umpamanya dakwah kita orang ramai terima hingga mendorong mereka membuat perubahan, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT. Kerana itu adalah kuasa dan nikmat dari-Nya. Rasa syukur itu dirasai oleh hati, bukan mulut, bukan telinga. Jadi kita mesti rasa syukur bila dakwah kita diterima orang. Itulah di antara roh dalam kita berdakwah. Jadi kita berdakwah itu bukannya kerana hobi. Bukan macam kita memancing ikan, memikat burung, main catur ataupun jogging - itu hobi. Jangan kita rasa berdakwah itu sebagai satu hobi tetapi hendaklah kita rasakan ia satu kewajipan yang telah ALLAH pikulkan kepada kita. Oleh kerana kita hendak menyampaikan daripada pihak ALLAH, ia mestilah disertai rasa takut, rasa bimbang. Oleh itu bila orang terima usaha dakwah kita itu, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT. Lebih-lebih lagi bukan untuk dibanggakan atau kerana minta dipuji. Kalau roh dakwah ini sudah tidak dijaga walau bagaimana pandai dan fasih kita berdakwah, dan orang senang dengan apa yang kita sampaikan, tetapi ALLAH tidak senang. Orang ramai redha tetapi ALLAH tidak redha. Kerana roh dakwah sudah tidak ada di situ; kita hanya membawa rangkanya semata-mata. Sedangkan rohnya sudah tiada. Ertinya membawa 'Dakwah Bangkai'. Roh Berjihad Jihad ialah gerak diri kita, gerak kaki kita, gerak tangan kita, pergi ke sana-sini memerah otak untuk memikirkan bagaimana hendak menegakkan hukum-hukum ALLAH dalam kehidupan kita. Memerah tenaga lahir dan batin kita untuk mendaulatkan Islam yakni agar hukum-hakam ALLAH itu mendapat tempat di tengah-tengah masyarakat. Ini semua jasad lahir atau rangka pada jihad itu. Rohnya, batinnya macam mana?. Di antaranya, hati mesti dibawa sama dalam berjihad. Hati mesti merasa jihad ini satu tanggungjawab atau satu kewajipan yang telah ALLAH pikulkan kepada kita. Ertinya kita berjihad bagi pihak ALLAH, bukan bagi pihak diri kita, dan bukan bagi pihak jemaah kita. Jemaah itu hanya sebagai landasan untuk memudahkan kita berjuang dan berjihad di tengah masyarakat. Di antara roh jihad lagi ialah niat. Niat itu ialah kerja hati; peranan batin. Niat jihad ialah untuk meninggikan kalimah ALLAH yakni hukum ALLAH yang lima itu: yang Wajib dan yang Sunat hendak kita tegakkan dalam semua aspek kehidupan; yang Haram dan Makruh hendak kita hindarkan dari semua aspek kehidupan; dan yang Harus, kalau boleh kita jadikan ibadah. Seterusnya, dalam waktu kita berjihad itu hendaklah kita berasa takut kepada ALLAH SWT. Kerana jihad ini simpang-siurnya dan liku-likunya terlalu banyak, gelanggangnya terlalu luas; maka mudah saja tersalah dan tersilap. Jadi kena bawa hati sama dalam berjihad. Hendaklah sentiasa ada rasa takut kalau-kalau tersalah dan tersilap. Kalau perjuangan kita tersalah dan tersilap, bukan saja kita rugi dan akan terhukum di dunia bahkan di Akhirat lebih parah lagi ALLAH akan hukum kita. Di antara roh dalam jihad lagi ialah harapkan bantuan daripada ALLAH. Walaupun kita gigih dan aktif berjuang tapi hati mesti selalu saja bergantung kepada Tuhan. Kerana mengikut pengajian dalam aqidah, usaha ikhtiar manusia itu tidak memberi bekas; yang memberi bekas atau yang menjayakan adalah ALLAH SWT. Oleh itu dalam berjihad, hati mesti bergantung kepada ALLAH. Mesti berharap kepada-Nya. Kemudian, yang dikatakan roh jihad lagi ialah, dalam berjihad itu kita rasa lemah. Walaupun kita ada banyak pengikut, alat kelengkapan yang cukup dan hebat, gelanggang jihad kita luas dan sebagainya, namun kita mesti rasa lemah di hadapan Tuhan. Sebab kejayaan itu daripada ALLAH, bukan dari usaha ikhtiar kita walaupun usaha dan ikhtiar kita itu memang diperintahkan. Jadi walaupun riuh-rendah kita berjihad, sampai kadang-kadang mulut kita menempikkan kalimah ALLAHU AKBAR tetapi hati kita mesti tunduk dan mesti rasa lemah kepada Tuhan.Seterusnya, dalam berjihad kita rasa syukur bila mendapat kejayaan dan kemenangan. Ini juga roh jihad. Hendaklah kita malu dengan ALLAH sebab kemenangan itu hadiah atau pemberian dari ALLAH. Ia merupakan rahmat dan nikmat dari-Nya. Kemudian, bila kita kalah atau tidak berjaya umpamanya, hati jangan rasa kecewa. Yang baiknya, hati merasa diri berdosa yang kerananya ALLAH tidak tolong. Tidak bolehlah disalahkan itu dan ini.
Tetapi salahkan diri kita sendiri; ini tiada lain lantaran dosa-dosa kita hingga kita terhijab dari bantuan ALLAH. Oleh itu, setiap kali kita menemui kegagalan dalam berjuang, hendaklah cepat-cepat ingat kembali kepada dosa. Dosa itulah yang menghijab bantuan daripada ALLAH SWT.
http://orangkayatunggakalam.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment